Sunday 2 October 2011

Berbaktilah Kepada Ibu Bapa

Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' ayat: 23)
Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Riawayat Muslim)
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat : 24)
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.
Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.
Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.
Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya.   Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.
Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya."(Hadis riwayat Abu al-Laith)
Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa  kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.
Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.  (Surah Ibrahim, ayat 39)

Kasih Sayang Tiada Noktah..

Setiap anak di kurniakan ibu bapa. Tetapi sejauh mana boleh kita buktikan kasih dan sayang kita kepada ibu bapa sendiri. Adakah cukup sekadar memberi wang setiap bulan .Adakah itu bukti kasih sayang kita kepada mereka.
Ada kisah yang ingin dikongsikan di sini. Kisah seorang anak yang sanngup berkorban untuk menjaga bapanya yang sedang menderita sakit buah pinggang walaupun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Ibunya telah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.
Tiga hari seminggu, dia akan membawa bapanya ke pusat dialisis untuk menjalani rawatan. Setiap keperluan bapanya di urus dengan baik. Walaupun mempunyai adik-beradik yang lain, tetapi bapanya amat selesa dengan anak perempuannya yang seorang ini. Setiap kali dia menghantar bapanya untuk menjalani rawatan, segala keperluan untuk bapanya di penuhi, antaranya menyuapkan makan, memakaikan stoking dan lain-lain.
Kalau di lihat kerja itu memang nampak mudah, tetapi melayan kerenah orang tua, bukan semudah yang disangkakan. Kita perlu banyak bersabar, begitu juga, ibu bapa bersabar membesarkan kita sehingga kita dewasa. Tetapi berapa ramai anak yang sanggup untuk menghabiskan masa menjaga orang tua walaupun mempunyai segulung ijazah .
Adakah kita mampu untuk menjaga ibu bapa kita seperti itu? Belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Sekarang mungkin kita akan kata kita mampu untuk menjaga ibubapa kita, tetapi bila tiba masanya, kemana kita pada waktu itu. Sibuk mencari wang sehingga mengabaikan kedua ibu bapa kita.
Cuba fikirkan sejenak, berapa kali kita melawat ibu bapa kita, itu pun setahun sekali pada hari raya. Dan yang menetap bersama ibu bapa, sejauh mana kita telah berbakti kepada mereka. Membantu meringankan kerja mereka dirumah, itupun sudah cukup melapangkan hati mereka melihat anak membantu keperluan di rumah selain bantuan kewangan. Tetapi persoalannya, adakah kita melakukannya?.
Banyak bukti menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah persoalan penting dalam islam. Allah menegaskan hal ini dalam firmannya:
"Allah telah menetapkan agar kalian tidak beribadah selain kepada-Nya; dan hendaklah kalian berbakti kepada kedua ibubapa". (Al-Isra' :23)
Allah talah meletakkan keredhaan-Nya pada keredhaan ibubapa.Rasul bersabda ;
"keredhaan Allah bergantung pada keredhaan kedua ibubapa.Kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan ibubapa" (HR.BUKHARI DAN MUSLIM)
Marilah kita sama-sama renungkan pengorbanan ibu bapa kita yang tiada penamatnya. Jasa mereka tidak mampu kita balas walaupun dengan jutaan wang ringgit. Apa yang penting, kasih sayang kita pada mereka yang tiada hentinya. Doakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat, Jadi lah anak yang tahu mengenang jasa ibubapa. Hargailah pengorbanan mereka

Muslimah Seperti Pohon Semalu

"Cuba tengok pokok ni. Apa nama pokok ni?" Faris Haikal cuba menguji minda anak muridnya.
"Pokok semalu." Semua serentak menjawab.
"Wah! Pandai adik-adik ni. Siapa tahu apa kelebihan pokok ni?" Faris Haikal tersenyum melihat karenah anak-anak yatim itu. Semuanya bersemangat untuk mendengar syarahan darinya.
"Hmm. Susah la soalan tu. Oh,ye. Tapi Zaki rasa mungkin sebab dia pemalu. Dulu arwah mak pernah tunjuk pokok ni kat Zaki." Zaki dengan beriya menjawab soalan gurunya itu.
"Hehe...Aduhai...cute sungguh adik sorang ni. Betul jugak jawapan tu. Kalau antum semua nak tahu, identiti utama pokok semalu atau nama saintifiknya 'Mimosa Pudica' ini ialah daunnya akan menguncup serta terkulai apabila disentuh dan akan kembang semula selepas beberapa minit. Apa yang boleh kita kaitkan dengan pokok ni? Boleh bagi contoh tak, Siddiq?"
Faris Haikal terus mengutarakan soalannya kepada Siddiq, memandangkan dia seolah-olah tidak memberikan perhatian. Mungkin kerana umurnya lebih tua dari adik-adik Darul Izzah yang lain. Tingkatan lima. Sangat remaja.
"Hmm...Bagi saya. Pokok semalu ni macam perempuan!" Semua terus mengalihkan mata tepat pada wajah Siddiq. Hairan dengan jawapan itu.
"Wah, bagus jawapan tu. Cuba Siddiq terangkan." Faris Haikal teruja dengan jawapan anak muda itu. Mungkin dia sedang cuba memahami sesuatu tentang dunia kini.
"Yela, perempuan seharusnya ada sifat malu dalam diri mereka. Pokok ni pulak kalau kita tengok, bila kita sentuh je dia tertutup. Ni menunjukkan dia nak protect diri dia. Tapi, perempuan zaman sekarang muka tak malu!" Bukan main marah dan bertegas cara Siddiq menjawab soalan itu. Mungkin pernah mengalami sesuatu dalam hidupnya yang berkaitan dengan wanita. Mungkin.
"Betul! Pokok semalu ni pokok perempuan. Orang perempuan yang pakai tudung, menutup aurat dengan sempurna dan ada sifat malu tidak akan membenarkan dirinya disentuh. Kalau orang nak sentuh, dia akan menutup dirinya." Faris Haikal mengukir senyuman. Adik-adik Darul Izzah pula mengangguk-anggukan kepala isyarat memahami penjelasan itu.
"Oo..tapi, kalau pokok semalu ni dah tutup tapi orang nak pegang jugak macam mana?" Aiman dari tadi diam, tiba-tiba bersuara. Faris Haikal tersenyum.
"Tangan orang tu akan luka sebab pokok semalu ada duri!" Faris Haikal menangkis hujah Aiman.
"Habis, kalau orang tu cabut jugak pokok ni?" Aiman seperti mahu melontar provokasi.
"Dia akan dihukum Allah! Tangan yang mencabut itu akan menerima seksaannya!" Tegas jawapan Faris Haikal. Semua terdiam. Terkejut dan takut dengan jawapan itu. Aiman segera mendepa tangannya. Tidak jadi untuk mencabut pokok semalu yang sudah mahu digenggamnya.
Mereka semua setuju dengan jawapan yang diberikan. Ringkas. Padat dengan pengajaran yang bermanfaat. Kelas hari ini berakhir dengan penuh pengertian. Masing-masing berfikir tentang ilmu alam. Sunnatullah di dunia ini pasti mempunyai hikmah yang amat bermakna buat manusia sejagat.
Peliharalah aurat kita wahai muslimah, pelihara ia dengan sebaiknya.

Izinkan cuma kau bertakhta di hatiku...

Di pelataran dinginnya malam, ku terdampar sendiri.
Saat ini, tika ini, hati seakan terdera dengan amukan hawa nafsu dan perasaan yang mengetuk-ngetuk tangkai hati. Tidak semena-mena, titisan jernih jatuh, setitis demi setitis. Hati sebak.
Dibiarkan air jernih itu mengalir hangat. Berlawan dengan emosi, ternyata seringkali diriku menjadi kalah. Nurani membentak, jiwa ini tidak tenang. Kenapa? Kenapa begini? Kenapa sekarang jadi begini?
Dulu hati itu dapat merasai sebuah ketenangan. Namun kini ketenangan itu seakan-akan diragut. Diragut oleh siapa? Apakah ia hilang ditarik oleh Tuhan? Atau kerana dosa-dosa yang dilakukan? Soalan-soalan itu bertubi-tubi menyoal, namun hati sememangnya tidak mampu menjawab. Terdiam sepi. Adakah hati itu telah mati?
Memang tidak ku nafikan, dia sangat menyayangi diri ini. Tetapi berkali-kali ku ingatkan pada diri, kasih sayang itu tidak abadi!
'Berpada-padalah dalam menyayangi, jika tidak kelak dikau akan menangisi!'
Entah dari mana suara itu datang dan berbisik pesanan, kemudian hilang.
Namun kini, ku pula yang terkena panahan kasihnya itu. Semakin ku lari, semakin dia mendekati. Benarlah. Menjaga sekeping hati amat sukar sekali. Perlu sangat cermat dan berhati-hati. Ku mengeluh, melepaskan sebuah keluhan perasaan yang berat, yang semakin memberati rasa hati.
Jiwa ini tidak lagi suci, terasa ia tersangat kotor.
"Ya Ilahi, di manakah Engkau selama ini yang bertakhta di hati? Kenapa ia sekarang telah terganti dengan makhlukMu? Kenapa diri terlalu tega menggantikan tempat teragung itu dengan insan dan makhlukMu yang hina?"
Hati bermonolog lagi sendirian. Tidak! Ia punya peneman. Sang Tuhan yang sentiasa sentiasa ada mendengar setiap keluhan.
"Astaghfirullahalazim.... Ighfirli Robbi... Ighfirli...."
Bibir memantulkan kalimah suci itu perlahan-lahan. Bibir diketap erat. Menahan tangkai emosi yang kian membuak-buak rasa pilu dan syahdu bila menyebutkan nama terindah itu, jiwa menjadi mudah terusik.
Berbicara dengan Sang Agung, air jernih itu terus menitis kemudian semakin mencurah-curah. Teresak-esak.
"Ya Rabbi, pegang hati ini, dakaplah ia seerat-eratnya, jangan sesekali biarkan ia termiliki oleh makhlukMu, ku tidak sanggup menggantikan tempatMu dengan yang lain, tidak sanggup juga berkongsi rasa itu, ku cuma mahu kasih itu teragung untukMu, ku cuma mahu rindu itu terpatri untukMu, ku cuma mahu cinta itu hanya membunga untukMu Tuhan, jangan biarkan daku terkalahkan dengan emosi dan perasaan yang seringkali dipermainkan oleh syaitan.
Ya muqallibal qulub, tetapkanlah jiwa ini setulusnya di jalanMu, pancarkan cahaya bagiku di jalan yang gelap agar aku tidak teraba-raba kesepian sendirian di hujung jalan yang kelam, jangan biarkan ku terus begini tanpaMu disisi.
Tuhan, Izinkanlah! Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini "
Berkali-kali kalimah itu diungkapkan pilu dalam pelantaran sujudnya. Wajah diraup setelah tangan menadah. Hati terus berdoa dan berharap, semoga Dia menerima segala-galanya